Thursday, August 27, 2009

'Usah bunuh bakat murid’

Teks oleh Md Fuzi Abd Lateh
rencana@hmetro.com.my

PEMBABITAN pelajar dalam aktiviti sukan di sekolah boleh melatih mereka menjadi insan cemerlang dan berdisiplin.

Justeru, peranan guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) penting merealisasikan pencapaian terbaik sesuatu bidang sukan yang diceburi pelajar.

Guru PJK SK Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor, Abdul Rahman Mohd Zan, berkata seawal usia enam tahun, murid perlu dilatih dengan kemahiran pelajaran PJK mengikut tahap kemampuan agar mereka menguasai pelbagai kecerdasan mengikut tahap.

“Guru perlu memberi semangat kepada murid agar mereka meminati subjek ini secara berterusan.

“Jangan sampai guru ‘membunuh’ bakat sukan anak didik atas alasan mengejar pencapaian akademik,” katanya.

Rahman turut menggunakan kepakarannya melatih murid dalam acara merentas desa dan bola baling hingga mencapai tahap peringkat kebangsaan.

“Saya bangga membantu pasukan kontinjen merentas desa Selangor membawa pulang kejuaraan acara itu di Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Pulau Pinang, baru-baru ini,” katanya.

Beliau yang juga penolong jurulatih kontinjen Merentas Desa Selangor berpendapat, guru tidak boleh menafikan hak mereka menyertai setiap acara sukan.

Sebagai guru bertanggungjawab, Rahman berkata, dia akan sentiasa memastikan peralatan sukan di sekolah digunakan sepenuhnya agar murid mendapat manfaat besar.

Menurutnya, sikap guru yang gemar menyimpan peralatan dalam keadaan baik sepanjang tahun perlu dikikis segera.

“Barangan sukan seperti bola, gelung rotan, skitel dan raket badminton perlu digunakan murid ketika subjek PJK.

“Guru perlu kreatif dan berfikiran terbuka dalam mengajar murid menguasai kemahiran sukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment