Monday, September 14, 2009

Pantun Teka Teki...

Kalau Tuan pergi ke kedai
Belikan saya buah keranji
Kalau tuan bijak pandai
Apa binatang keris di kaki?

Ada sebiji roda pedati
Bentuknya bulat daripada besi
Bila bermain diikat sekuat hati
Dilempar hidup dipegang mati?

Buah budi bedara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai?

Burung nuri burung dara
Terbang ke sisi taman kayangan
Cubalah teka wahai saudara
Semakin diisi makin ringan?

Bunga orkid indah warnanya
Penyeri taman dan juga hutan
Ramai orang datang bertanya
Bintang apa hidup di lautan?

Pak Pung Pak Mustafa
Encik Dollah dirumahnya
Ada tepung ada kelapa
Gula Melaka jadi intinya

Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana asapnya?
Hilang ghaib disangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya?

Budak-budak bermain batu
Batu dikira satu persatu
Badannya lurus bermata satu
Ekornya tajam apakah itu?

Jika tuan membeli tikar
Tikar anyaman dari mengkuang
Kalau Tuan bijak pintar
Ular apa membelit pinggang?

Masak tumis sambal petai
Makan kenyang sambil sendawa
Anda menziarah sahabat handai
Buah apakah yang akan dibawa?

Pokoknya bulat dan juga rendang
Masam dan hijau ketika muda
Buahnya berbentuk seperti bintang
Sudah masak, kuninglah ia

Belayar perahu dari Bentan
Menyusur tepi Selat Melaka
Lebar kepala dari badan
Apakah ikan cubalah teka?

Mak Minah menanak minyak
Kemenyan dibakar dengan setanggi
Dua peha beranak banyak
Untuk mendaki tempat yang tinggi?

Orang bekerja diberikan upah
Hidangan disaji dalam talam
Gajah putih ditengah rumah
Layar terkembang di waktu malam?

Gigi berduri tatah bersigai
Pembelah kayu ia berguna
Jika tuan orang yang pandai
Benda apakah makannya dua cara?

Jika ke kedai pergi berbelanja
Belikan saya sudu dan senduk
Jika pandai katakan ia
Semakin berisi semakin menunduk?

Kalau tuan pakai lencana
Pakailah songkok di atas kepala
Kalau Tuan bijak laksana
Binatang apakah tiada kepala?

Pisau lipat dimainnya kera
Tangannya luka lalu terjun
Makan kuat tidak terkira
Kenyangnya tidak tahi bertimbun?

Minah ketawa terjerit-jerit
Melihat koyak pada seluar
Orang putih duduk sederet
Pagar didalam tebing diluar?

Tuan puteri belajar menari
Tari diajar oleh Pak Harun
Kalau Tuan bijak bestari
Apa yang naik tak pernah turun?

Senarai Jawapan
Jawapan 1 : Ayam
Jawapan 2 : Gasing
Jawapan 3 : Buah Melaka
Jawapan 4 : Belon
Jawapan 5 : Tapak Sulaiman
Jawapan 6 : Buah Melaka
Jawapan 7 : Kilat
Jawapan 8 : Jarum
Jawapan 9 : Tali Pinggang
Jawapan 10: Buah Tangan
Jawapan 11: Belimbing
Jawapan 12: Ikan Pari
Jawapan 13: Tangga
Jawapan 14; Kelambu
Jawapan 15: Gergaji
Jawapan 16: Padi
Jawapan 17: Ketam
Jawapan 18: Api
Jawapan 19: Gigi
Jawapan 20: Umur

Tuesday, September 8, 2009

Tip Meningkatkan Keyakinan Diri

Di dalam persekitaran yang penuh cabaran ini, pasti semua individu menghadapi masalah yang tidak dapat dielakkan, iaitu masalah Keyakinan Diri. Bagaimana kita mengekalkan atau meningkatkan keyakinan diri kita?

Berikut merupakan beberapa tip yang boleh diambil sebagai panduan untuk meningkatkan keyakinan diri anda :

Kita sebagai seorang individu yang normal atau kurang upaya, mempunyai kelebihan dan kekurangan diri masing-masing. Oleh itu, anda yang dapat mengenali diri anda dengan baik pasti anda mengetahui kelebihan dan kekurangan diri anda itu. Dengan itu, anda diminta untuk mengasah kelebihan anda dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Dengan cara ini seseorang itu betul-betul menghargai usaha sendiri dan puas dengan apa yang dikecapi hasil daripada usaha yang dilakukan.


Kedua, ambil risiko. Anggap kegagalan merupakan satu proses pembelajaran dan pengalaman. Jika anda gagal tidak bermakna anda tidak berkebolehan. Mungkin kegagalan itu berpunca daripada keterbatasan kebolehan atau kemahiran diri. Jangan risau bahawa kemahiran hidup boleh dibentuk dan anda pasti akan mampu untuk berjaya sekiranya anda memperbaiki segala kelemahan yang ada daripada pengalaman kegagalan yang lalu. Ingat!!! Anda mungkin tidak semestinya akan berjaya setelah mencuba untuk kali kedua.. anda mungkin kena melalui percubaan demi percubaan tidak kira berapa kali, 3...4...10...100 dan ........Jika tidak berjaya juga jangan bimbang, mungkin anda memang tidak berkebolehan untuk melakukannya... ingat bukan itu sahaja yang anda boleh lakukan... banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan.


Ketiga, sentiasa berfikiran positif. Jika anda dihantui oleh fikiran negatif, ingatkan diri anda bahawa anda mempunyai kelebihan yang lain yang boleh dimanfaatkan. Sebagai contoh, katakan kawan anda amat pandai dalam pengiraan (subjek matematik) dan anda pula mudah untuk mengingat (subjek sejarah). Anda dan kawan anda boleh belajar bersama secara berkumpulan dan saling tolong-menolong untuk mencapai kecemerlangan akademik. Ingat sentiasa berfikiran positif bahawa anda melakukannya untuk faedah anda dan kawan anda iaitu untuk berjaya.


Ingat apa yang anda lakukan, lakukan untuk diri anda. Abaikan apa yang diperkatakan oleh orang lain tentang diri anda, apa yang penting adalah anda menyayangi diri anda dan anda lakukan hanya untuk kesejahteraan diri anda.


Bukan semua manusia sempurna...

Thursday, September 3, 2009

fungsi Bahasa Melayu

Kenapa kita harus mencintai Bahasa Melayu???
KERANA Bahasa Melayu merupakan:

Bahasa Kebangsaan – melahirkan semangat perpaduan, kekitaan dan kebangsaan. Bahasa Jiwa Bangsa. Satu Bangsa/Negara, Satu Bahasa (1 MALAYSIA)

Bahasa Rasmi – dalam komunikasi dan acara rasmi, segala surat-menyurat rasmi, pentadbiran, minit mesyuarat, memo dll.

Bahasa Perpaduanperpaduan antara kaum/keturunan, perpaduan politik.

Bahasa Ilmu – dalam bidang ilmu, sains, teknologi, komputer, saintifik, ilmiah. MenjadikanBahasa Malaysia setaraf Bahasa Inggeris; antarabangsa.

Bahasa Pendidikan – bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah, universiti, kolej.

Wednesday, September 2, 2009

PANTUN MELAYU (pantun budi)

Tenang-tenang air laut ,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung .

Dari Daik pulang ke Daik,
Sehari-hari berkebun pisang;
Budi baik dibalas baik,
Dalam hati dikenang orang.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Dewa sakti melayang ke Daik,
Hendak mencari Dewa Jaruga;
Kalau ada budi yang baik,
Sampai ke mati orang tak lupa.

Baik-baik bertanam padi,
Jangan sampai dimakan rusa;
Baik-baik termakan budi,
Jangan sampai badan binasa.

Anak merak Kampung Cina,
Singgah berhenti kepala titi;
Emas perak kebesaran dunia,
Budi bahasa tak dapat dicari.

Anak angsa mati lemas,
Mati lemas di air masin;
Hilang bahasa kerana emas,
Hilang budi kerana miskin.

Cuaca gelap semakin redup,
Masakan boleh kembali terang;
Budi bahasa amalan hidup,
Barulah kekal dihormati orang.