Thursday, August 27, 2009

'Usah bunuh bakat murid’

Teks oleh Md Fuzi Abd Lateh
rencana@hmetro.com.my

PEMBABITAN pelajar dalam aktiviti sukan di sekolah boleh melatih mereka menjadi insan cemerlang dan berdisiplin.

Justeru, peranan guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) penting merealisasikan pencapaian terbaik sesuatu bidang sukan yang diceburi pelajar.

Guru PJK SK Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor, Abdul Rahman Mohd Zan, berkata seawal usia enam tahun, murid perlu dilatih dengan kemahiran pelajaran PJK mengikut tahap kemampuan agar mereka menguasai pelbagai kecerdasan mengikut tahap.

“Guru perlu memberi semangat kepada murid agar mereka meminati subjek ini secara berterusan.

“Jangan sampai guru ‘membunuh’ bakat sukan anak didik atas alasan mengejar pencapaian akademik,” katanya.

Rahman turut menggunakan kepakarannya melatih murid dalam acara merentas desa dan bola baling hingga mencapai tahap peringkat kebangsaan.

“Saya bangga membantu pasukan kontinjen merentas desa Selangor membawa pulang kejuaraan acara itu di Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Pulau Pinang, baru-baru ini,” katanya.

Beliau yang juga penolong jurulatih kontinjen Merentas Desa Selangor berpendapat, guru tidak boleh menafikan hak mereka menyertai setiap acara sukan.

Sebagai guru bertanggungjawab, Rahman berkata, dia akan sentiasa memastikan peralatan sukan di sekolah digunakan sepenuhnya agar murid mendapat manfaat besar.

Menurutnya, sikap guru yang gemar menyimpan peralatan dalam keadaan baik sepanjang tahun perlu dikikis segera.

“Barangan sukan seperti bola, gelung rotan, skitel dan raket badminton perlu digunakan murid ketika subjek PJK.

“Guru perlu kreatif dan berfikiran terbuka dalam mengajar murid menguasai kemahiran sukan,” katanya.

Wednesday, August 26, 2009

VARIASI BAHASA

Mewah Bahasa: 'Nasi gulai suku-suku'

Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

FA yang berasal dari Kelantan telah bekerja di Kuala Lumpur beberapa bulan. Dia tinggal serumah dengan rakan sekerjanya Ros. Pada hari pertama Ramadan, mereka berdua bersiap-siap untuk berbuka puasa dengan membuka bungkusan makanan masing-masing yang baru dibeli dari bazar Ramadan.

Fa: Beli apa? Banyak nampaknya tu.

Ros: Nasi tomato dan ayam percik. Bubur cacar pun ada ni. Kaubeli apa lak?

Fa: Aku tadi tak tau nak pilih apa, banyak sangat. Last-last ambik gulai lemak nangka dengan ikan masin. Murah sangatlah mak cik tu jual, singgit je nasi ngan gulai. Aku ambik gak kuih dua tiga jenis, geram tengok!

Ros: Amboi! Sedap tu, terasa macam kat kampung pulak. Aku nak tumpang sikit gulai nangka tu nanti.

(Setelah membuka juadah masing-masing)

Fa: Eh!! Kenapa sikit sangat nih! Nasi adalah tiga suap, bercampur pulak tu dengan gulai. Sikit sangat nih!

Ros: Kau minta apa kat mak cik jual nasi tu tadi?

Fa: Aku minta nasi dengan gulai lemak nangka dengan ikan masinlah. Aku minta nasi dengan gulai suku-suku.

Ros: Kau minta suku-suku?

Fa: Ha, la! Kalau campur nanti basi. Kalau tak pun nasi tu kembang kena kuah, tak sedap. Tapi ni dia campur sekali, dah la tu sikit sangat. Tak kenyang ni, lekat celah gigi je. Patutlah harga murah sangat.

Ros: Ha! Ha! Ha! Sini bukan Kota Baharu, sini Kuala Lumpurlah! Bila kauminta suku tadi, dia bagilah suku, suku tu tak sampai separuh pun! Agaknya mesti mak cik tu ingat kau diet nih, makan suku je.

Fa: Aku minta penuh, tak minta separuh. Mak cik tu salah isi nih! Cuma aku minta dia bungkus suku-suku.

Ros: Mak cik tu tak salah, kau yang salah. Kauminta suku-suku, mak cik tu faham kau nak nasi suku dan gulai nangka suku. Sekarang kau dapatlah serba suku, patut le murah sangat! Tadi aku pun hairan, mana ada dalam Kuala Lumpur ni orang jual nasi dan lauk singgit sebungkus. Kau tak tengok ke masa mak cik tu bungkus tadi?

Fa: Tulah silapnya tadi. Masa tu orang ramai, lepas order aku pilih kuih pulak. Tau-tau dah siap bungkus. Makan kuih ajelah aku nampaknya ... tumpang sikit nasi tomato kau tu sikit!

Ros: Lain kali bila beli makanan tu, cakap cara orang Kuala Lumpur. Marilah makan, dah azan tu ... baca doa dulu!

INFO: Glosari

  • Suku - (i) satu daripada empat bahagian, seperempat
    - (ii) (dialek Kelantan) berasingan
  • Singgit - (bahasa pertuturan) seringgit
  • Last-last - (bahasa pertuturan) akhirnya

  • Terdapat beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan yang berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi...






    Monday, August 24, 2009

    FADHILAT RAMADHAN...

    Hadith 1

    Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

    Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

    Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

    Sempena bulan yang mulia ini sama-samalah kita menambahkan amal ibadat masing-masing. Semoga segala amal kita diterima Allah S.W.T.....SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA BAGI SEMUA UMAT ISLAM...